Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khui Khon Chiang (tiga dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam sidanh media di Markas PPM Wilayah Dua di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Sejumlah 204,500 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM2.39 juta dirampas dalam satu serbuan di kawasan persisiran pantai Tanjung Labuh dekat Batu Pahat pada Isnin.

Serbuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua kira-kira pada pukul 3 pagi itu, turut berjaya menahan seorang lelaki tempatan dipercayai pemandu lori berusia 41 tahun.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, kawasan yang diserbu itu dipercayai dijadikan tempat pemunggahan rokok yang diseludup.

“Bertindak hasil maklumat orang awam dan risikan, PPM menjalankan intipan di kawasan itu sebelum mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

“Pihak kami kemudiannya bertindak menghampiri lori tersebut tetapi pemandu lori cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas kita memintas kenderaan itu,” katanya dalam sidang media di Markas PPM Wilayah Dua di sini hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan ke atas lori itu, polis menemukan sejumlah 204,500 karton rokok dengan nilai rampasan RM2.39 juta.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana menyeludup barang bercukai. – MalaysiaGazette