Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui dalam situasi politik sekarang sukar untuk menangani isu projek pembinaan perumahan untuk generasi kedua Felda di Felda Soeharto.

Bagaimanapun, beliau berkata, masalah itu boleh ditangani jika ‘orang-orang politik’ bersetuju mencari pihak berkecuali dengan menubuhkan satu badan bertindak bagi menangani isu berkenaan.

“Kalau orang politik bersetuju bahawa ada beberapa perkara yang kita perlu sepakat hati, walaupun bimbang siapa yang akan mengaku siapa dapat kredit, senang. Cari orang buat satu badan, mencadangkan satu badan berkuasa bertindak ditubuhkan. Tetapi kita kena bagi kerjasama. Ambillah kredit itu.

“Saya tidak rasa rakyat bodoh, untuk menilai mana yang lebih matang, nampak lebih ikhlas. Ada jalannya. Tetapi itu cadangan dan nasihat yang saya boleh bagi kepada kerajaan,” katanya dalam program Bicara Bajet 2018 malam tadi.

Dalam pada itu, Rafizi akan melihat Belanjawan 2018 yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Jumaat ini terutama berkaitan isu yang sama.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai projek pembinaan perumahan generasi kedua di Felda Soeharto yang gagal dilaksanakan kerana tidak mendapat kelulusan kerajaan negeri Selangor.

Projek itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada tahun 2010 dan melibatkan sebanyak 200 buah rumah di atas tapak seluas 12 hektar.

Malah, Felda juga telah memohon pelupusan secara Pemberimilikan Tanah Kerajaan di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara seluas 14.65 hektar di Mukim Hulu Bernam, Daerah Hulu Selangor bagi tapak projek pembinaan perumahan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast