Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan Belanjawan Selangor 2018 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor, Shah Alam. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2017.

SHAH ALAM – Belanjawan Selangor 2018 memperuntukkan RM3.12 bilion di mana 46.8 peratus atau RM1.46 bilion merupakan belanja mengurus manakala belanja pembangunan pula ialah RM1.66 bilion atau 53.2 peratus

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membentangkan bajet itu di bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini menyaksikan penurunan sebanyak RM330 juta berbanding Belanjawan 2017 yang memperuntukkan RM3.45 bilion.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, peruntukan belanja pembangunan dalam Belanjawan 2018 mengalami kenaikan sebanyak satu peratus berbanding sebelumnya.

“Selama empat tahun berturut-turut kerajaan negeri Selangor menaikkan peratusan belanja pembangunan melebihi belanja mengurus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2018 di bangunan DUN Selangor, di sini petang tadi.

Mohamed Azmin juga berkata, Belanjawan Selangor 2018 dijangka mengalami defisit sehingga RM870 juta berpunca daripada pembangunan substantif keperluan pembangunan mampan.

Dalam Belanjawan Selangor 2018, daripada RM1.46 bilion di bawah belanja mengurus, sebanyak RM444.15 juta diperuntuk untuk bayaran emolumen manakala RM557.79 juta bagi perkhidmatan serta bekalan.

Manakala, sebanyak RM359.82 juga pula disediakan untuk tujuan pemberian dan berkenaan bayaran tetap serta RM98.24j untuk pembelian aset dan belanja lain.

Bagi peruntukan belanja pembangunan, sebanyak RM746 juta atau 44.9 peratus diperuntukkan untuk infrastruktur seperti pembinaan baru, naik taraf jalan dan jambatan; tebatan banjir; penyelenggaran parit dan saliran serta pembangunan bekalan air. – MalaysiaGazette