KUALA LUMPUR –  Pasukan Felda United belum menerima lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kata pengurusnya, B. Sathianathan.

Antara alasan yang diberikan oleh FAM, menurutnya, pasukan tersebut belum memenuhi satu kriteria untuk mendapatkan lesen tersebut, iaitu faktor kewangan.

Selain Felda United, satu kelab lagi yang turut belum mendapat lesen daripada kedua-dua badan bola sepak itu ialah Sarawak.

Bagaimanapun, Sathianathan memaklumkan beliau tidak mengetahui berkenaan perkara tersebut secara terperinci.

“Saya tidak tahu kerana ia melibatkan pengurusan kelab dan FAM. Tugas saya ialah membentuk pasukan untuk musim hadapan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa belum ada perancangan khusus mengenai rombakan pasukan menjelang saingan Liga Super musim hadapan.-MalaysiaGazette