Lee Chean Chung

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani kes penculikan kanak-kanak yang berleluasa di negara ini.

Ketua Penerangannya, Lee Chean Chung berkata, keperluan badan bebas itu mendesak susulan kepada masalah penculikan kanak-kanak yang semakin membimbangkan dan  dipercayai didalangi oleh sindiket.

“Penculikan sering terjadi di tempat awam dimana pihak polis boleh mengambil tindakan dengan membanyakkan rondaan dan intipan.

“Kerjasama Polis DiRaja Malaysia dengan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu giat dilakukan untuk menjalankan risikan dan mengenal pasti individu atau sindiket yang dipercayai melakukan jenayah culik ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyatakan bahawa seramai 723 kanak-kanak dilaporkan hilang di negara ini sepanjang tempoh enam bulan hingga Jun lalu.

Berdasarkan statistik yang direkodkan PDRM, purata sekurang-kurangnya empat kanak-kanak hilang setiap hari yang mana separuh jumlah itu berumur antara 13 hingga 15 tahun.

Chean Chung selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu berkata, kes kehilangan kanak-kanak di dalam negara kita sangat meresahkan terutama kepada ibu bapa.

Beliau mendakwa, tanpa badan bebas itu, pihak polis dikhuatiri tidak menunjukkan sebarang komitmen serius untuk membanteras masalah ini yang menjadi satu fenomena di negara ini.

“Sekiranya pihak berkuasa di Malaysia lambat mengambil tindakan menangkap atau membanteras penculikan yang semakin berleluasa, tidak mustahil negara ini akan menjadi seperti Columbia dan beberapa negara lain yang digelar ‘Ibu negara Penculikan Dunia’.

“Justeru, saya ingin menggesa kerajaan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah penculikan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast