Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Borhan Dolah (kanan) menunjukkan buku laporan Bajet 2018 KKLW pada Sidang Akhbar Khas Bajet 2018 KKLW di Ibupejabat KKLW, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 03 NOVEMBER 2017

PUTRAJAYA – Semua ketua kampung diminta melaporkan status projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan di kawasan mereka.

Ia bagi mengesan dengan lebih awal projek-projek yang bermasalah dan tidak boleh disiapkan dalam jangka waktu yang ditetapkan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, menerusi sebuah jawatankuasa ‘task force’ segala projek di bawah kementerian akan sentiasa dipantau.

“Kalau dulu-dulu projek dah sakit baru kita tahu. Bila dah tahu projek sakit baru dihantar ke jawatankuasa projek sakit, tapi kadang-kadang dah terlalu lama.

“Sekarang ini sebelum nak sakit kita dah tahu, sebab setiap dua bulan kita akan dapatkan makluman dari segi status projek tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri menjelaskan agihan peruntukan belanja pembangunan pada Bajet 2018 untuk Sabah menjadi tumpuan apabila peruntukan sebanyak RM927.635 juta disalurkan di negeri itu manakala sebanyak RM1.103 bilion diperuntukkan untuk negeri Sarawak.

Ismail yang membidas tuduhan pembangkang kononnya kerajaan tidak memberi tumpuan terhadap dua negeri itu bagaimanapun akan memperlihatkan dengan jelas bahawa sejumlah besar peruntukkan disalur ke negeri berkenaan berbanding negeri-negeri lain.

“Dari segi keseluruhan bajet yang diperuntukkan untuk kementerian ini, lebih 50 peratus disalurkan kepada Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette