Tabung Haji
Imej Tabung Haji sebagai sebuah Institusi Kewangan Islam yang terunggul ini perlu dipelihara oleh masyarakat Islam di Malaysia dan menaikkan imej Malaysia di persada dunia.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan pendepositnya jangan percaya sekiranya menerima panggilan yang mendakwa sebagai kakitangan agensi itu berhubung dengan transaksi pemindahan wang.

Menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat TH, pihaknya menerima aduan daripada pendeposit bahawa ada satu sindiket yang menyamar sebagai anggota TH.

Kata kenyataan itu, anggota yang menyamar itu menghubungi pendeposit untuk memaklumkan berlaku transaksi pindahan wang dari akaun TH kepada pihak ketiga melalui sebuah bank komersial tempatan.

“Untuk melakukan pengesahan transaksi, penyamar terbabit memaklumkan kononnya akan mengalih panggilan itu ke Balai Polis Kota Kinabalu, di mana ‘pegawai balai’ berkenaan akan mendapatkan maklumat akaun pendeposit,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Untuk makluman, katanya, pihak TH tidak pernah menghubungi mana-mana pendeposit bagi tujuan sebarang transaksi pemindahan wang.

“Peraturan pengeluaran atau pindaan wang juga tidak akan dilaksanakan melalui panggilan telefon.

“Ini bermakna panggilan itu adalah palsu dan pendeposit TH dinasihatkan supaya berwaspada serta tidak sekali-kali menurut arahan pemanggil atau mendedahkan maklumat akaun mereka kepada orang yang tidak dikenali,” kata kenyataan itu lagi.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pendeposit boleh berhubung dengan THCC di talian 03-6207 1919. – MalaysiaGazette