Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar
SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) sudah menjangkakan Kerajaan Negeri Selangor akan mengguna pakai idea pembinaan rumah untuk generasi kedua Felda dalam Belanjawan 2018 hari ini.

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar sambil menyifatkan belanjawan kerajaan negeri Pakatan Harapan itu sebagai ‘gula-gula politik’ sedangkan permohonan Felda sebelum ini ditolak.

“Kita mohon selepas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) melancarkan bina rumah generasi kedua, kita mohon pada bulan Oktober, tiba-tiba kita dapat surat penolakan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertarikh 12 September 2011.

“Tiba-tiba hari ini boleh. Kita telah jangkakan mereka akan umumkan rumah generasi kedua Felda ini sempena nak pilihan raya. Ini betul-betul bajet pilihan raya, mereka tuduh kita, tapi mereka yang buat,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan DUN Selangor hari ini.

Rosni juga mencabar kerajaan negeri tidak hanya membina 136 unit bahkan membangunkan perumahan untuk kesemua generasi kedua jika benar-benar peduli kebajikan rakyat Selangor.

“Kenapa saya kata gula-gula kerana 136 rumah sahaja dibina di atas tanah seluas 17 ekar, sedangkan tanah begitu luas? Kalau nak bina, binalah untuk keseluruhan generasi kedua Felda.

“Sekurang-kurangnya 80 peratus agar dapat menyelesaikan masalah, kalau betul-betul prihatin rakyat, peduli rakyat, tapi semua itu gula-gula

“Supaya rakyat sayang dan kasih dan mengundi mereka tetapi rakyat sudah faham dengan permainan politik mereka ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast