Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bercakap kepada media ketika membuat lawatan kerja ke Pangsapuri Taman Puchong Permai di Puchong, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Disebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai isu Bugis, Datuk Seri Mohamed Azmin dicabar melarang Pengerusi PH berceramah di negeri itu.

Cabaran itu dilontarkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Jelas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, Mohamed Azmin sebagai menteri besar perlu berbuat demikian kerana jelas Sultan Selangor tidak senang dengan tindakan Mahathir.

“Kerajaan negeri mesti peka atas isu kemurkaan sultan, kerajaan negeri jika berani boleh melarang Mahathir memberikan ceramah di Selangor, ia boleh dilakukan dengan mengeluarkan surat rasmi permintaan kerajaan negeri untuk diserah kepada polis agar permit ceramah politik beliau tidak diluluskan,” katanya.

Sultan Selangor pada Khamis dilaporkan murka dan kecewa dengan kenyataan Mahathir itu yang dilihat cuba menghasut rakyat di negara ini untuk membenci dan memandang serong terhadap kaum Bugis.

Kenyataan itu disampaikan oleh Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais.

Justeru kata Noh, sikap berdiam diri Mohamed Azmin tidak menggambarkan beliau memihak kepada Selangor malah lebih memihak kepada Mahathir yang kini bersama gabungan pembangkang.

“Azmin Ali menjadi menteri besar selepas ia diperkenankan oleh Sultan Selangor, jadi beliau perlu lebih menjaga hati baginda sultan daripada menjaga hati Mahathir,” katanya ketika ditemui pada program di Kampung Raja Musa di Bestari Jaya di Tanjong Karang malam tadi.

Pada Himpunan Rakyat ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ Sabtu lalu, Dr. Mahathir berkata “Mungkin kerana dia berasal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis”.

Mahathir berkata demikian di hadapan lebih 8,000 peserta himpunan berkenaan yang merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. -MalaysiaGazette.