Home Utama 5 termasuk warga emas maut dalam banjir Pulau Pinang

5 termasuk warga emas maut dalam banjir Pulau Pinang

PULAU PINANG – Seramai lima orang disahkan maut akibat lemas dalam bencana banjir kilat buruk yang melanda negeri ini sejak awal pagi tadi.

Empat daripada mangsa merupakan warga emas yang ditemui maut di rumah masing-masing serta seorang warga Bangladesh yang maut selepas turut dihempap pokok tumbang di Bagan Dalam, Butterwoth di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mangsa terbaharu yang lemas merupakan warga emas, Chong Sin Thon, 97, yang ditemui maut di rumahnya di Jalan Shaik Madar, Ayer Itam di sini.

“Mayat Sin Thon ditemui kira-kira pukul 1 petang tadi dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” kataya kepada pemberita di sini hari ini.

Awal pagi tadi, tiga warga emas turut ditemukan lemas dengan dua di rumah masing-masing manakala seorang di pusat jagaan orang-orang tua di Jalan P. Ramlee di sini.

Mereka ialah Amanullah Shahib Kalandir, 75, yang ditemui lemas di rumahnya di Jalan Perak dan Chew Eng Lean, 78, yang ditemui di rumahnya di Taman Free School.

Sementara itu, seorang lagi mangsa ialah Lau Guek Jee, 64, yang ditemui mati lemas di Pusat Penjagaan Orang-Orang Tua Paschal, Jalan P. Ramlee di sini.

Sementara itu, situasi banjir di seluruh negeri ini tidak banyak berubah setakat pukul 5 petang ini dengan kawasan-kawasan yang dilaporkan ditenggelami banjir masih belum surut sepenuhnya.

Setakat ini juga, seramai 2,861 mangsa dilaporkan masih ditempatkan di lebih 10 buah pusat pemindahan di lima daerah negeri ini namun jumlahnya dijangka berkurangan ekoran keadaan cuaca yang semakin baik.

Ketika ini juga, pasukan penyelamat yang terdiri daripada gabungan pelbagai badan beruniform sedang bertungkus-lumus membersihkan kesan-kesan banjir dan ribut khususnya pokok tumbang yang dilaporkan berlaku di 78 lokasi. – MalaysiaGazette