Najib Tun Razak. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan hubungan Malaysia-China dalam beberapa pelaburan terbarunya tidak menjejaskan kedaulatan negara ini.
Tindakan Pakatan Harapan yang mahu mengkaji semula usahasama itu jika mentadbir Putrajaya disifatkan Najib sebagai tidak berasas.
“Dia ugut nak ubah semuanya kononnya kita sudah jual kedaulatan negara. Kedaulatan apa…kepala bapak engkau…maaf saya guna bahasa kasar.
“Sebab tak lojik, di mana pula hilang kedaulatan….bodoh,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-64 di Wisma MCA, di sini, hari ini.
Reaksi ceria Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil diiringi Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai (tiga kanan) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA kali ke-64 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 05 NOVEMBER 2017
Perdana Menteri melahirkan kemarahannya susulan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang akan mengkaji segala kontrak ditandatangani kerajaan dengan negara asing bagi menjamin kedaulatan negara.
Mahathir berkata, Pakatan Harapan mahu mengkaji semula kontrak berkaitan aset strategik dan memastikan kedaulatan negara terjamin dalam setiap kontrak termasuk untuk mendapatkan semula hak negara di Pulau Batu Putih.
Najib juga memberi amaran kepada pemimpin pembangkang agar tidak memperbodohkan rakyat negara ini dengan dakwaan Malaysia menjual kedaulatannya jika usahasama itu diteruskan.
“Saya tak pernah tengok sungguh menjijikkan nak tipu rakyat Malaysia. Sesiapa saja boleh pergi sana, hilang kedaulatan apa. Takkan Malaysia tak boleh masuk.
“Jangan tipu dan main-main dengan orang Malaysia. Saya marah sebab dia menipu dan buat sesautu yang tidak masuk akal malah menjijikkan.
“Pergi kat Forest City, macam-macam cerita pula. Itu semua tanah tebus semula, bukan tanah Johor pun. Negara ini tidak boleh diperintah oleh orang tua berusia 93 tahun itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast