Mohamed Khaled Nordin pada majlis perjumpaan dengan Puteri UMNO cawangan dan pelancaran Jentera IT Pergerakan Puteri UMNO Johor di Hotel Holiday Villa.

JOHOR BAHRU – Pergerakan Puteri UMNO perlu kembali kepada peranan asas dan fungsi sebenar mereka yang menfokuskan kepada ikhtiar menyakinkan orang muda bahawa mereka punya peranan dalam perjuangan UMNO.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, di awal penubuhan puteri sangat berkesan dalam menarik golongan muda dengan cara tersendiri mempersonakan orang muda untuk berjuang bersma UMNO.

Menurutnya, pada pilihan raya umum 2004, BN dan UMNO mencatatkan kemenangan paling besar dalam sejarah pilihan raya Malaysia dengan meraih 65 peratus undi popular.

“Semua ini berlaku kerana golongan muda kembali mendukung UMNO. Dan saya tidak teragak-agak untuk mengakui bahawa salah satu penyebab utamanya, ialah kerana keberkesanan pergerakan Puteri pada masa itu.

“Puteri ada di mana-mana. Warna mereka jambu menjadi sinonim dengan Puteri. Kalian sangat disenangi oleh penduduk kampung di seluruh negara, puteri menyantuni masyarakat dengan sentuhan tersendiri, sopan tidak terlalu ‘political’ dan berorientasikan khidmat bakti.

“Jadi, menyedari peranan besar Puteri dalam politik UMNO, maka hari ini saya ingin mengajak Puteri UMNO untuk terus memikul peranan penting ini dalam pilihan raya akan datang,” katanya selepas majlis perjumpaan dengan Puteri UMNO cawangan dan pelancaran Jentera IT Pergerakan Puteri UMNO Johor di Hotel Holiday Villa di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, di Johor sahaja terdapat kira-kira 300,000.00 pengundi baru dan mereka itu bukan sahaja pengundi pertama kali, tetapi adalah golongan muda atau pengundi millenials.

Tambahnya, golongan itu tidak pernah hidup dalam era tanpa internet, rata-ratanya berpendidikan dan sangat bermaklumat,
pengundi yang sangat sukar difahami kerana mereka tidak merasa rasa relevan dengan struktur politik.

“Mereka adalah golongan pro kebenaran, pro maklumat, pro kebebasan. Lalu siapa lagi yang harus mengalas kerja berat ini kalau bukan Puteri? Saudari semua adalah sebahagian dari millenials ini. Anda semua lebih dekat dan memahami mereka berbanding kami. Anda tahu sikap dan pemikiran mereka. Anda tahu kemahuan dan tuntutan mereka,” katanya.

Jadi, beliau mahu puteri UMNO menggunakan kelebihan dan kedudukan mereka memainkan peranan sekali gus menjadi peneraju dan golongan paling terkehadapan dalam mendekati pengundi muda yang tidak lekang dengan gajet.

“Jadi, puteri perlu bergerak masuk ke alam maya, mungkin, satu cara adalah menyiarkan video berinspirasi dengan menggunakan kreativiti. Kita tahu golongan itu mungkin sibuk tetapi mereka tidak lekang dengan gajet,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast