Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA kali ke-64 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 05 NOVEMBER 2017
KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan Pakatan Harapan sebagai ‘pakatan jahat’ susulan ia sentiasa dibayangi dengan politik DAP yang kerap menjaja harapan rakyat.
Beliau berkata, perkataan pakatan itu sendiri lebih cenderung untuk melakukan kejahatan termasuk menjatuhkan orang dengan politik fitnah.
“Kalau kita pakat, biasanya dengan niat jahat. Konotasinya adalah pakat untuk jatuhkan orang. Pakat untuk binasakan orang, pakat untuk rosak atau fitnah orang.

“Tetapi dalam politik, DAP dan kuncu-kuncunya perlu memberi, menjual atau menjaja harapan kepada rakyat. Maka pakatan jahat ini dinamakan Pakatan Harapan,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-64 di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Para perwakilan MCA, bersorak dan menyokong ketika ucapan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA kali ke-64 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 05 NOVEMBER 2017
Tiong Lai berkata, Pakatan Harapan mempunyai niat yang baik kepada rakyat, sudah tentu mereka akan mengemukakan senarai menteri-menteri Kabinet Bayangan pembangkang.
“Adakah Kabinet Bayangan pakatan jahat ini akan diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri atau Lim Kit Siang? Rakyat masih dalam kegelapan. Inilah Pakatan Harapan,” katanya.
Beliau turut berkata, semua kerjasama dan gabungan parti pembangkang yang gagal sebelum ini hanya sekadar perkahwinan rambang semata-mata, lebih-lebih lagi jika melibatkan DAP.
“Ini semua perkahwinan yang mudah. DAP daripada mendakwa pendekatan bukan perkauman sebelum ini, kini bekerjasama pula dengan Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang merupakan parti berasaskan perkauman.
“Ini menunjukkan bahawa DAP adalah pihak yang tidak mempunyai martabat, tidak ada prinsip dan tidak ikhlas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast