KUALA LUMPUR – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menjual janji kosong dan membuat pusingan U seperti mana yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang Pakatan Harapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemimpin BN tidak pernah menggunakan pendekatan pembangkang yang sering menyerang dan menghina peribadi orang lain.
“Kita tak jual janji, kita tak jual bulan dan bintang, kita tak mengutuk, mencaci dan mencerca. Sebaliknya kita telah menunaikan janji kita kepada rakyat dan negara.
“Apa yang pembangkang buat? Melainkan asyik kutuk habis-habisan, mencaci habis-habisan, dan membuat pusingan U habis-habisan.
“Kita sudah cukup bulatan dalam negara ini, kita tak perlu pusingan U dan sudah tentu kita tak perlu tol tambahan di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-64 di Wisma MCA, di sini, hari ini.
Najib berkata, beliau sentiasa konsisten berpegang kepada prinsip merasai denyut nadi rakyat khususnya ketika merangka Bajet 2018 yang memanfaat semua lapisan masyarakat.
“Bila saya buat Bajet demi Bajet, terutama sekali ibu segala bajet 2018 ini, berjam-jam saya habis untuk mengetahui dan membuat kesimpulan apa dia denyut nadi rakyat.
“Apa yang rakyat mahu, apa masyarakat mahu, apa orang miskin nak, apa orang pertengahan mahu, apa golongan usahawan dan SME nak, apakah orang muda nak, apakah yang wanita nak.
“Sebahagaian besar daripada kehendak masyarakat kaum Cina dan kaum-kaum lain semua ada dalam Bajet 2018 sehinggakan wanita yang mengandung pun akan dapat faedah,” jelasnya.
Najib juga menegaskan, beliau meluluskan pembinaan 10 sekolah kebangsaan jenis Cina tambahan bukan kerana pilihan raya tetapi memenuhi kehendak komuniti Cina yang semakin bertambah.
“Perkara ini saya buat bukan perkara kerana pilihan raya, saya pernah buat sebelum ini, tanyalah Tan Sri Lim Ah Lek. Jangan kata kerana pilihan raya, saya lulus sekolah tambahan.
“Itu adalah polisi kita. Kita semak semula (keperluan) dari semasa ke semasa. Ia bukan kerana pilihan raya, ia adalah kerana keperluan komuniti Cina.
“Saya ambil keputusan bersama menteri pendidikan bahawa kita patut meluluskan tambahan 10 buah sekolah kebangsaan jenis Cina dan 6 yang kita pindahkan.
“Saya difahamkan ia cukup untuk 10 hingga 15 tahun akan datang,” ulasnya.
Najib berasa kesal apabila DAP memanipulasikan kelulusan peruntukan pembinaan sekolah kebangsaan jenis Cina itu dengan mendakwa ia tidak dimaklumkan kepada umum.
“Bila kita sudah lulus itu, DAP kata apa? Owh, kerajaan tak sebut ada peruntukan, Dia pusing balik. Bila kita lulus sekolah, kita luluslah dengan peruntukan, cuma peruntukan diluluskan hanya sekolah disediakan untuk dibina.
“Sedia untuk bina baru kita lulus peruntukan. Sekarang ini kita sedang kenal pasti tapak, kita kena buat buat pelepasan tanah. Lepas itu ada permohonan, baru kita lulus peruntukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette