PULAU PINANG – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan usul tergempar berhubung bencana banjir besar di negeri ini menerusi persetujuan sebulat suara semua wakil rakyat Kerajaan DAP Pulau Pinang dan pembangkang.
Usul tergempar itu dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow bagi menggesa pihak berwajib bekerjasama untuk menangani masalah banjir di negeri ini dengan pelaksanaan projek tebatan banjir menyeluruh.
“Selain itu, usul ini juga bertujuan menggesa pihak berwajib di peringkat Persekutuan, negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) meneliti serta menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dalam menyampaikan maklumat, menggerakkan kerja menyelamat dan bantuan secara lebih efektif,” katanya ketika sidang DUN di sini hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Dr. Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata, beliau turut berharap usul tersebut dapat memastikan gerak kerja operasi membantu mangsa banjir di negeri ini dijalankan secara lebih bersistematik.
Ujarnya, perkara itu bagi memastikan tidak ada mangsa banjir yang terlepas daripada mendapatkan bantuan khususnya daripada Kerajaan DAP Pulau Pinang.
“Saya membangkitkan perkara ini kerana di kawasan saya di Pulau Betong, bantuan seolah-olah tidak mencukupi selain tidak diberikan secara berjadual.
“Mangsa-mangsa yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan kekurangan kelengkapan asas malah ada yang tidur di atas lantai tanpa bantal dan selimut. Perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, sidang DUN hari ini yang sepatutnya berlangsung sehingga lewat petang ditangguhkan hanya sehingga ke sesi tengah hari ini.
Difahamkan, penangguhan itu bagi membolehkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turun padang memberi bantuan kepada rakyat yang terjejas berikutan bencana banjir besar ketika ini memberi kesan kepada hampir keseluruhan penduduk negeri ini.
Sidang DUN juga akan ditangguhkan sehari esok bagi memberi laluan kepada program lawatan Putera Wales, Putera Charles dan isteri Duchess Cornwall, Camilla ke negeri ini yang dijangka tiba malam ini.
Sidang DUN akan kembali bersambung pada Rabu ini sehingga Isnin depan. – MalaysiaGazette