Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menaiki motorsikal berkuasa tinggi semasa melawat pameran sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari (dua kiri) dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan (kanan) pada Majlis Perasmian Malaysia Autoshow 2017 di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2017.

SERDANG – Perkongsian strategik antara DRB-Hicom dan Geely Holding merupakan era baharu kepada Proton agar berkembang sebagai jenama kereta nasional yang unggul untuk pasaran domestik dan luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, industri automotif Malaysia harus melihat secara proaktif perkembangan terbaru kerjasama strategik kedua-dua syarikat terbesar itu.

Menurutnya, apa yang perlu diteliti ialah kerjasama strategik dengan sebuah syarikat antarabangsa yang mampu membantu meningkatkan pemasaran kereta nasional ke peringkat antarabangsa.

“Pemain utama automotif di negara ini harus belajar bagaimana industri automotif China menjadi pengeluar automotif yang pantas berkembang di seluruh dunia.

“Saya meneliti perkembangan pesat industri automotif sesebuah negara seperti China kerana beberapa faktor penting,” katanya ketika berucap merasmikan Malaysia Autoshow 2017 di MAEPS di sini hari ini.

Sebanyak 150 pempamer kenderaan mengambil bahagian pada pameran berkenaan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, perkongsian strategik dengan pembuat automotif seperti Volkswagen, GM, Toyota Honda dan Kia lebih menumpukan kepada kerjasama teknologi yang membolehkan mereka mempelajari dan menguasai seterusnya.

Katanya, mereka mementingkan akses pasaran bagi memastikan kereta yang dikeluarkan boleh dipasarkan ke seluruh dunia.

Ujarnya, pembentukan pakej rangsangan fiskal merangsangkan permintaan tempatan untuk kenderaan walaupun keadaan ekonomi dunia tidak menentu. – MalaysiaGazette