Mangsa-mangsa banjir menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan dari Mercy Malaysia. foto Facebook Mercy Malaysia

GEORGETOWN – Mercy Malaysia antara sukarelawan awal yang tiba bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang, membuka klinik bergerak untuk memberi rawatan dan perubatan.

Badan sukarelawan itu sudah berada di Pulau Pinang sejak Ahad lalu bagi kerja-kerja pasca banjir kepada masyarakat yang terjejas.

Kira-kira 6,000 orang penduduk Pulau Pinang terjejas dalam bencana alam terburuk yang pernah direkodkan di negeri tersebut.

Ketua Komunikasi dan Perhubungan Strategik Mercy Malaysia, Chan Li Jin berkata, pihaknya telah memberi bantuan perubatan kepada 11 buah pusat pemindahan banjir selama empat hari berturut-turut.

Menurutnya, apabila banjir berlaku mangsa-mangsa banjir terdedah dengan pelbagai penyakit seperti penyakit kulit disebabkan terkena air kotor, stres kerana banjir dan lenguh-lenguh akibat terpaksa memindahkan pelbagai barangan.

Katanya, bantuan rawatan dan perubatan itu dikendalikan melalui klinik bergerak yang ditaja oleh Yayasan Sime Darby, yang turut menyumbangkan 500 kit perubatan.

Sebahagian sumbangan yang diagih-agihkan kepada mangsa-mangsa banjir melalui Mercy Malaysia.

Maybank Foundation juga tidak ketinggalan menyumbang kit perubatan dan kebersihan.

Kit kebersihan tersebut mengandungi baldi, tuala mandi, kain batik, beg sampah, sabun, sikat, pengetip kuku, ubat gigi, berus gigi dan lain-lain.

“Sasaran bantuan Mercy Malaysia adalah mangsa banjir yang kurang atau tidak mendapat bantuan di atas apa juga sebab. Kebanyakan aktiviti kami tertumpu di kawasan Seberang Prai Utara kerana terdapat keperluan di kawasan ini,” katanya sambil memberitahu badan itu juga terlibat membasuh rumah-rumah mangsa banjir.

Pasukan sukarelawan Mercy Malaysia yang terlibat berjumlah kira-kira 100 orang. – MalaysiaGazette