Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib bersalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka, Datuk Saroni Judi ketika tiba pada Forum Hal Ehwal dan Isu Semasa, Hala Tuju Bajet 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Para pengundi Melayu di Selangor diingatkan agar tidak sesekali memberi sokongan kepada mana-mana parti yang bersekongkol dengan DAP.

Ia bagi mengelak kuasa Melayu hilang akibat dijaja oleh parti-parti yang bergabung dengan parti cauvinis semata-mata mahu dapatkan pengaruh kuat politik, kata Tan Sri Muhd. Muhammad Taib.

Bekas Menteri Besar Selangor itu mendakwa, DAP bijak mengatur strategi ekoran parti yang dikuasai kaum Cina itu mempunyai kewangan yang kuat untuk tujuan politik.

“Kalau kita benarkan DAP menjadi teras kerajaan di Selangor dan kemudian dapat Putrajaya dengan kekuatan kewangan yang ada mereka boleh beli siapa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Hal Ehwal dan Isu Semasa; Halatuju Bajet 2018 TN50:Pendidikan, Ekonomi dan Kuasa Melayu di PWTC petang ini.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berucap pada Forum Hal Ehwal dan Isu Semasa, Hala Tuju Bajet 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 NOVEMBER 2017

Mengambil contoh apa yang berlaku di Selangor, Muhd. Taib berkata, kehidupan orang Melayu semakin tersepit apabila kerajaan negeri sekarang ini tidak membantu secara keseluruhan terutama dalam isu perumahan.

Katanya, keadaan di Selangor bertambah ‘gamat’ apabila muncul masalah sosial seperti kes penyalahgunaan dadah, rumah urut, pelacuran, perjudian dan sebagainya yang wujud seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

“Sekarang ni kalau nak pergi berurut tak perlu lagi pergi Hatyai, di Selangor ni saja dah ada banyak,” ujarnya berseloroh.

Tambahnya, apa yang berlaku di Selangor ketika ini tidak seperti pentadbiran Barisan Nasional (BN) semasa beliau menerajui negeri itu.

Katanya, satu ketika dulu di zaman pentadbiranya, kerajaan sentiasa memikirkan untuk membangunkan rumah setinggan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast