KUALA LUMPUR – Akibat perbuatan keji apabila sanggup melacurkan dua anak kandungnya kepada warga asing, seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 75 tahun oleh Mahkamah Sesyen, Johor Bahru hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Kamarudin Kamsun selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Tertuduh, yang berusia 39 tahun didapati bersalah kerana bertindak demikian ke atas anak perempuannya pada Oktober lalu.

Dia menjalani hukuman penjara 15 tahun untuk 10 pertuduhan yang mana setiap dua daripadanya berjalan serentak.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan menganiaya dari segi seks dengan melacurkan dua anak kandungnya yang masing-masing berusia 13 dan 10 tahun di sebuah hotel bajet di Larkin di antara 1 hingga 7 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 dan di baca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000; penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, sebagai tambahan kepada hukuman boleh dihuk penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan hendaklah dihukum dengan sebat.

Untuk rekod, tertuduh difahamkan tergamak melacurkan dua anaknya itu hanya dengan kadar bayaran serendah RM50 kepada warga asing malah sanggup menyaksikan perbuatan keji itu dibuat.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi’uddin manakala tertuduh tidak diwakili sebarang peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast