KUALA LUMPUR – Wira Perkasa Malaysia mengingatkan pihak yang sentiasa mencari alasan untuk mempersendakan agama Islam agar tidak sekali-kali berani bermain api, kerana dibimbangi akan membakar diri.
Tanpa menyebut pihak mana, tetapi dipercayai peringatan itu ditujukan kepada majikan atau pemilik hotel yang baru-baru ini melarang pekerja wanita di bahagian perkhidmatan pelanggan memakai tudung.
Menurut Setiausahanya, Zahir Zulkamar, banyak isu yang berlaku hari ini timbul akibat daripada kelemahan pihak berwajib dalam memberi pendidikan dan kesedaran khususnya mengenai moral kehidupan.
Kata beliau, kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan perlu bertindak segera menyelesaikan masalah itu.
“Kalau isu bertudung pun kerajaan tidak dapat tangani dengan baik, bagaimana pula hal yang lain. Kita harap majikan atau pemilik hotel di Malaysia ini belajar sesuatu dari hal ini.
“Wira Perkasa Malaysia akan terus ke hadapan dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air mengikut peruntukan perlembagaan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dilaporkan, mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bertugas di bahagian perkhidmatan pelanggan.
Malah, Presiden MAH, Cheah Swee Hee menafikan konon larangan yang dikenakan ke atas kakitangan Muslim itu adalah satu bentuk diskriminasi agama, sebaliknya mendakwa ia sebahagian daripada polisi antarabangsa.
Beliau juga mendakwa, konon setiap hotel terutama yang berstatus antarabangsa di seluruh Malaysia mempunyai prosedur standard operasi (SOP) tersendiri dan polisi syarikat mengikut kod pakaian ditetapkan.
Zahir mempersoalkan, apakah imej bertudung dalam kalangan pekerja hotel itu mencerminkan majikan dan pemilik hotel berkenaan menyokong imej ekstremis agama khususnya Islam?
“Kita mendesak majikan dan pemilik hotel menjelaskan apakah alasan munasabah bagi melarang pekerja ini bertudung,” katanya. – MalaysiaGazette