JOHOR BAHRU – Pameran ‘Saksi Seni Daksina’ di Muzium Tokoh Johor yang dipamerkan kepada umum mulai hari ini adalah bagi mengetengahkan dan seterusnya memperingati hasil seni dan himpunan karya pengarah dan tokoh perfileman terkenal negara Allahyarham Datuk Jamil Sulong.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata usaha Yayasan Warisan Johor selama hampir 10 tahun, mengumpul karya pengarah tersohor itu mampu membangkitkan minat mendalam khalayak terhadap bidang seni dan budaya.
“Pameran kesenian Datuk Jamil Sulong dilakukan melalui penilaian berdasarkan latar belakang dan kekuatan karya seni yang dihasilkannya serta kerjasama baik yang diberikan oleh Allahyarham sebelum meninggal dunia.
“Demikian juga ahli waris sepanjang usaha pihak muzium untuk memperoleh dan merekod segala maklumat yang diperlukan” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan pameran itu di Muzium Tokoh Johor di sini, petang ini.
Allahyarham yang dilahirkan di Parit Sulong, Batu Pahat itu, banyak berkarya dalam era kegemilangan sinematik Melayu, sebelum meninggal dunia pada 2014, pada usia 88 tahun akibat serangan angin ahmar.- BERNAMA