Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, konvensyen itu memberi peluang kepada pelbagai pihak berkepentingan dan pelbagai lapisan masyarakat menyuarakan hasrat dan pandangan mereka.
“Segala hasil perbincangan kemudiannya akan dijadikan panduan oleh jurucakap yang akan membahaskan usul sepanjang PAU2017 tahun ini.
“Ia membuktikan UMNO sebuah parti inklusif membuka ruang dan peluang kepada pihak berkepentingan termasuk bukan ahli UMNO memberi cadangan,” katanya kepada pemberita di bilik media Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Hishammuddin juga berkata, konvensyen itu juga dijadikan sebagai platform untuk memperhalusi serta mengangkat usul-usul menyentuh kepentingan dan masa depan rakyat dalam PAU2017.
“Kita dalam UMNO sejak dari dulu saya kata cukup inklusif dan demokratik.
“Konvensyen ini akan jadi wadah utama kepada tokoh dan pemimpin Melayu yang berjaya dalam bidang masing-masing.
“Mereka akan berkongsi pandangan serta menyumbang kepada kemajuan rakyat dan parti,” katanya. – MalaysiaGazette