Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2017
KUALA LUMPUR – Keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Sabtu lalu jelas menunjukkan parti pembangkang itu dimonopoli Cina apabila tiada seorang pun pemimpin Melayu sebenar dipilih oleh perwakilan.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, DAP terserlah sebagai sebuah parti berasaskan kaum Cina apabila kesemua calon Bumiputera tewas.

“Ini terbukti apabila hampir kesemua calon mewakili Bumiputera telah kalah, melainkan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

“Beliau mendapat undian sebanyak 649 undi meletakannya di tempat 19 daripada 20 jawatankuasa tertinggi CEC DAP Pusat,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemilihan itu dijalankan semula susulan pemilihan CEC DAP pada 15 Disember 2012 kerana didakwa wujud penyelewengan apabila berlaku kesilapan pengiraan undi, selain gagal memberi notis kepada 753 perwakilan sah dan layak mengundi.

Pada 17 April 2013, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengeluarkan notis arahan melarang DAP daripada membuat sebarang keputusan.

Zulkarnain berkata, kehadiran perwakilan DAP pada pemilihan semula itu yang merosot kepada 1,356 atau 53.94 daripada 2,514 orang menunjukkan mesej jelas bahawa parti itu untuk kaum Cina sahaja.

“Perkara ini harus dihormati oleh semua pihak termasuk Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng,” ulasnya.

Katanya, walaupun wujud gerakan halus untuk membawa masuk pemimpin Bumiputera menjadi ahli DAP, namun keputusan pemilihan itu jelas menunjukkan majoriti perwakilan menolak konsep DAP sebagai parti pelbagai kaum.

“Kemasukan Ariffin Omar, Dyana Sofea, Aziz Bari, Zaid Ibrahim, Mejar Zaidi, A Samad Said dan lain-lain masih tidak mampu mengubah keinginan keseluruhan majoriti perwakilan DAP,” jelasnya.

Beliau turut berkata, suara perwakilan DAP perlu dihormati dan didengari pucuk pimpinan baharu dan mereka perlu berhenti melaungkan bahawa DAP untuk semua kaum.

“Sebelum ini Tunku Abd Aziz, bekas Naib Pengerusi DAP telah keluar daripada DAP dan terkini wakil rakyat Kepayan, Edwin Bosi juga mengambil tindakan serupa.

“Suara perwakilan perlu diterjemahkan dengan menghentikan sama sekali percakapan oleh sesetengah pemimpin DAP, termasuk Tun Mahathir kononnya DAP untuk semua kaum termasuk Bumiputera,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast