Mohamad Fikry Mamot menunjukkan video yang viral pada sesi temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette mengenai lelaki yang memukul seorang pemuda gara-gara berebut giliran ketika membeli kasut berjenama edisi khas di pusat beli-belah Suria KLCC pada Sabtu lalu di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Insiden pukul memukul gara-gara berebut giliran membeli kasut di pusat beli-belah KLCC pada Sabtu lalu tular di media sosial.

Hari ini pelaku, Mohamad Fikry Mamot melahirkan rasa tidak puas hati dan mendakwa sebuah akhbar tempatan cuba memfitnahnya.

Fikry, 29, yang ditemui MalaysiaGazette kesal apabila laporan akhbar itu mendakwa anak kelahiran Batu Caves Selangor itu menumbuk mangsa di bahagian bawah kiri mata dan hidung hingga patah sedangkan ia tidak benar.

“Akhbar ini mengatakan saya menumbuk mangsa tepat di bahagian hidung sedangkan video yang viral baru-baru ini orang pun boleh tengok dan nilai sendiri saya tumbuk mangsa ini dekat bahagian mana.

“Saya nak betulkan kenyataan akhbar terbabit, saya tak mahu masyarakat salah anggap hingga mengeruhkan lagi kejadian tempoh hari,” katanya ketika ditemui.

Mohamad Fikry Mamot menunjukkan atikel yang melaporkan dirinya memukul dibahagian tidak sepatutunya pada sesi temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette mengenai lelaki yang memukul seorang pemuda gara-gara berebut giliran ketika membeli kasut berjenama edisi khas di pusat beli-belah Suria KLCC pada Sabtu lalu di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 NOVEMBER 2017

Sabtu lalu, seorang lelaki memukul pemuda gara-gara berebut giliran ketika membeli kasut berjenama edisi khas di pusat beli-belah Suria KLCC.

Insiden jam 6 pagi Sabtu lalu itu menjadi tular di media sosial bermula apabila mangsa, Faiz Hariz, 22, menegur Fikry yang tidak berpuas hati kerana sekumpulan anak muda memotong barisan ketika beratur untuk membeli kasut bernilai RM1,150 di Suria KLCC.

Fikry juga menyangkal laporan akhbar yang mendakwa dia diberkas polis di rumahnya sedangkan dia sendiri yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Dang Wangi, baru-baru ini.

“Saya dapat satu berita dalam akhbar tempatan mengatakan pihak polis menjejaki saya dan membuat tangkapan di rumah, sedangkan saya sendiri menyerahkan diri dan menghadirkan diri ke IPD Dang Wangi,” tegasnya.

Susulan laporan tidak bertanggungjawab itu, Fikry mendesak akhbar tempatan yang menyiarkan artikel bercanggah itu untuk memohon maaf kepadanya secepat mungkin.

“Saya kurang berpuas hati dengan laporan akhbar terbabit. Sebaiknya kesilapan akhbar ini diselesaikan dengan cara baik, tak nak saman menyaman ini.

“Saya mendesak akhbar terbabit memperbetulkan kenyataan mereka supaya masyarakat di luar sana tahu keadaan sebenar di sebalik insiden kekasaran tempoh hari.

“Saya mahu masyarakat tidak salah anggap terhadap diri saya,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast