Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
KUALA LUMPUR – Industri perhotelan yang dikuasai bukan Islam di negara ini antara punca utama orang Melayu dan Islam ditindas segelintir pengusaha hotel dengan mensyaratkan pekerja wanita Islam dilarang memakai tudung.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tindakan itu menunjukkan tanda-tanda awal orang Islam dan Melayu masih dipandang rendah di negara ini.

“Kita tiada hotel, pengusaha hotel kita (Melayu) kita tiada, mereka (bukan Islam) punya hotel, nak kerja di hotel mereka, kakitangan kaunter depan, (kena) buka tudung.Tak boleh, (sebab itu) Datuk Seri Nazri mengamuk tempoh hari.

“Itu baru simptom-simptom, bagaimana itu. Kita ini orang Melayu Islam dinafikan, akan disisihkan, lambat laun akan disisihkan kerana kita lemah, ekonomi kita lemah, kewangan kita lemah,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOA) serta Penyerahan Surat Pelantikan Rakan Strategik Akademi di antara TAJ International College dan Institut Pengajian Tinggi, di Mandarin Hotel, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan mengenai aduan kakitangan hotel berkaitan diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung.

Presiden MAH, Cheah Swee Hee juga dilaporkan media yang mempertahankan tindakan hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan sebagai sebahagian dasar antarabangsa.

Tajuddin juga menegaskan orang Melayu hanya akan terus ketinggalan dan terus ditindas sekiranya masih ketinggalan menguasai ekonomi dan industri keusahawanan.

“Kalau kita tiada keusahawan tidak boleh guna ilmu yang pelajari, kita tak praktikkan, tidak mahu jadi pengamal ilmu, saya rasa kita akan ketinggalan dalam dunia yang sangat kompetetif

“Perjuangan kita untuk anak bangsa, kita nak jadikan anak bangsa kita kompetetif, boleh bersaing, boleh hidup, agar tidak diperlekeh, ditindas orang, dinafikan orang, dipandang rendah orang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast