Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos. foto SAFWAN MANSOR, 17 NOVEMBER 2017.
AMPANG – Hanya tiga peratus daripada 150,000 permohonan skim perumahan SelangorKu didakwa dibina oleh Kerajaan  Selangor sejak ia mula diperkenalkan.

Demikian pendedahan Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos sambil mendakwa mempunyai bukti kukuh berupa dokumen mengenai laporan pembinaan rumah mampu milik itu.

“Hanya tiga peratus sahaja dapat duduk rumah tersebut sedangkan sudah berapa tahun. Mereka janji cepat tapi sekarang hampir lapan tahun pembinaan rumah SelangorKu yang dijanjikan kepada rakyat Selangor.

“Semua tutup mata, mana Exco, mana wakil rakyat di bawah Kerajaan Negeri Selangor,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar pada sidang media di pejabat Gabungan NGO 1Malaysia hari ini.

Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap pada sidang media Rumah SelangorKu Hanya Retorik Kerajaan Negeri Selangor di Pejabat Gerakan Gabungan NGO Malaysia, Ampang. foto SAFWAN MANSOR, 17 NOVEMBER 2017

Skim rumah mampu milik mula diperkenalkan Pakatan Rakyat di Selangor pada 2008 ketika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi menteri besarnya.

Skim Rumah SelangorKu hanya layak dimohon oleh rakya negeri itu sahaja untuk memiliki sebuah rumah sendiri bernilai tidak melebihi RM250,000.

Syarikat Eco World salah sebuah pemaju hartanah yang membangunkan Skim Rumah SelangorKu sebanyak 12,862 unit rumah telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Sebanyak 50 peratus daripada jumlah tersebut, atau 6,431 unit terdiri daripada unit mampu milik, iaitu berharga dari RM42,000 hingga RM220,000 melalui skim Rumah SelangorKu.

Jamal juga tidak menolak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dikhuatiri ada unsur-unsur rasuah susulan rumah mampu milik gagal disiapkan sejak 2008.

“Kami akan buat minggu depan (laporan SPRM), kami sedang teliti dan hampir siap semua kawasan yang dijanjikan untuk mendirikan Rumah SelangorKu,” dakwanya.

Jamal turut mendakwa, terdapat Exco Selangor diberikan diskaun yang tinggi untuk memiliki rumah di Eco World Semenyih sebagai balasan kepada pemaju tidak dikenakan tindakan kerana gagal menyiapkan rumah SelangorKu.

“Berapa banyak rumah Exco yang ada dalam Eco World, jadi ini adalah satu samunan kerajaan negeri, samun hak negeri, kemudian diberi kepada wakil rakyat dan penyokong pembangkang.

“Mereka dapat harga istimewa daripada pemaju, sebab itu mereka tak ambil tindakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast