KOTA BHARU – Anak seorang pemimpin tertinggi Parti Amanah Negara (PAN) yang juga wakil rakyat di sebuah kawasan di negeri ini direman selama empat hari bermula hari ini kerana disyaki memiliki 200 biji pil kuda.
Pemuda berusia 29 tahun itu ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah ini di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kampung Jelutong di sini pukul 3.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, lelaki tersebut ditahan selepas pihaknya membuat pemerhatian di kawasan itu yang mendapati seorang lelaki berada dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila anggota kita memperkenalkan diri, dia cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan.
“Dia enggan memberikan kerjasama. Bagaimanapun kita berjaya menahan lelaki ini.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan satu balutan kertas tisu berwarna putih dalam poket seluar suspek, bungkusan itu mengandungi sepaket plastik berwarna biru berisi 198 biji pil warna merah dan dua biji pil warna hijau disyaki dadah jenis pil kuda,” katanya.
Ismail berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penangkapan itu.
Sehubungan itu, katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Kota Bharu untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Comments are closed.