Home Nasional Kota Darul Ehsan berwajah baru

Kota Darul Ehsan berwajah baru

Kota Darul Ehsan - pintu sempadan antara Selangor dan Wilayah Persekutuan yang sudah berwajah baru.

PETALING JAYA – Pintu gerbang Kota Darul Ehsan yang menjadi mercu tanda sempadan antara Selangor dan Wilayah Persekutuan kini berwajah baru selepas selesai dinaik taraf sepenuhnya.

Pemuliharaan Kota Darul Ehsan itu dilaksanakan atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Beta amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor di atas usaha-usaha yang dilakukan untuk menyempurnakan projek menaik taraf Kota Darul Ehsan ini.

“Pembinaan kota ini bermula pada 1 Februari 1974 apabila Kuala Lumpur diisytiharkan Wilayah Persekutuan.

“Pada ketika itu almarhum ayahanda beta, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah menitahkan agar sebuah pintu gerbang dibina sebagai tanda sempadan.

“Kini, setelah 36 tahun, Kota Darul Ehsan diberi nafas baharu serta tampil lebih segar dan indah sesuai dengan imejnya sebagai ikon Negeri Selangor,” kata Sultan Selangor.

Kerja-kerja menarik taraf yang membabitkan beberapa komponen penting telah bermula pada 15 April 2015 dan siap sepenuhnya pada 30 September lalu.

Antaranya ukiran dan motif di bahagian dinding dan kaki tiang yang menggunakan bahan ringan dan tidak berbahaya kepada pengguna jalan raya tanpa mengubah konsep asal reka bentuk Kota Darul Ehsan.

Skop kerja juga melibatkan tiang bendera, Jata Negeri Selangor, kanopi dan skema warna dengan imej Negeri Selangor.

Selain itu, sistem pencahayaan khusus dan kerja-kerja menarik taraf kemudahan infra sistem bekalan elektrik turut dilakukan termasuk menanam rumput dan pokok renek di sekitar Kota Darul Ehsan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast