Datuk Seri S. Subramaniam. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2017.

PETALING JAYA – Kerajaan sedang mengkaji untuk meminda Akta Tisu Manusia 1974.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pihaknya sedang melihat potensi untuk menambahbaik akta itu bagi mengelak pesakit yang mendapatkan rawatan ditipu penyedia rawatan.

“Kita ada akta tisu dan sedang cuba menambahbaik yang mana akan mengambil masa memandangkan perkembangan semasa dalam sektor sel stem perlu diambil pertimbangan sewajarnya apabila dilaksanakan kelak,” katanya selepas merasmikan Simposium Bioperubatan Cambridge Oxford-Sunway bertajuk ‘Stem Cells: From Biology to Therapy’ anjuran University Sunway hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas beberapa isu berbangkit berkaitan aspek undang-undang dan pelaksanaan rawatan sel stem yang dianggap sesetengah pihak sebagai tidak beretika.

“Saya ingin menasihatkan rakyat khususnya pesakit di negara ini supaya tidak menjadi mangsa rawatan sel stem yang disediakan pelbagai pihak yang tidak diiktiraf serta tidak terbukti secara perubatan dan saintifik.

“Ada ramai pihak berkepentingan dalam sektor ini cuba menjadikan sel stem sebagai sumber menjana pendapatan sahaja.

“Jadi orang ramai perlu lebih berhati-hati dalam memilih penyedia rawatan yang benar-benar diiktiraf secara perubatan untuk mengelak sebarang kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan,: katanya. – MalaysiaGazette