Nur Fazura Sharifuddin bersama Fattah Amin pada sidang media khas mengenai spekulasi status hubungan mereka di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Spekulasi pasangan pelakon sensasi, Fattah Amin dan Fazura yang dikatakan telah bernikah dalam satu majlis tertutup minggu lalu terjawab apabila mereka hanya bertunang pada 13 November lalu.

Fattah, 27, menjelaskan, pada tarikh tersebut, keluarganya terlebih dahulu merisik Fazura pada majlis yang diadakan di rumah keluarga wanita itu.

Dia memberitahu, satu majlis doa selamat juga telah diadakan sempena pemergiannya dan Fazura bersama keluarga masing-masing menunai ibadah umrah di Tanah Suci pada 15 November lalu.

“Saya dan Fazura ingin berkongsi berita gembira dengan pihak media dan peminat kami yang kami telah bertunang pada 13 November lalu.

“Keluarga saya telah menghantar rombongan untuk merisik dan bertunang ke rumah keluarga Fazura.

“Alhamdulillah, semuanya selamat berjalan. Namun sebab kami tidak mahu berkongsi berita itu dahulu kerana keluarga kami sudah sepakat untuk fokus menunaikan ibadah umrah dan memang berniat buat pengumuman selepas balik dari umrah hari ini,” katanya.

Pasangan tersebut  mengadakan satu sidang media khas di sebuah hotel di sini petang ini.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Fattah dan Fazura terus bergegas ke sidang media tersebut.

Pasangan itu selamat menunaikan umrah bersama-sama keluarga terdekat masing-masing sejak Rabu lalu.

Sementara Fattah dan Fazura berkongsi kesedihan apabila tersebar spekulasi mereka telah bernikah sebelum ke Mekah.

“Macam-macam kami dengar dan tidak sepatutnya tersebar yang keluar bukan dari mulut keluarga sebelum kembali ke Malaysia.

“Kami tak bernikah di Mekah dan belum bernikah dan belum ada lagi bincang dengan mana-mana hotel.

“Apa yang sedang rancangan untuk lalui proses majlis pernikahan macam orang lain.

“Pergi kursus kahwin dan kursus permohonan nikah. Apa pun doa  yang terbaik buat kami dan akan selamat bernikah tidak lama lagi.

“Atas permintaan keluarga kami, mereka mahu privasi untuk majlis pernikahan tertutup. Namun kami akan mengadakan dua majlis resepsi nanti,” katanya.

Selasa minggu lalu, heboh berita mengatakan pasangan Fattah dan Fazura telah melangsungkan perkahwinan mereka didakwa diadakan rumah nenek Fazura yang terletak di Petaling Jaya.

Namun muncul khabar angin mengatakan Fattah dan Fazura  bertunang pada malam tersebut sebelum menikah keesokkan harinya sebelum menunaikan umrah.

Fatah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin dikatakan bercinta dengan Fazura atau nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin ketika sesi penggambaran drama bersiri Hero Seorang Cinderella yang bersiaran Mei lalu. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast