Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia telah melantik Gobind Singh Deo bagi mewakili bekas Pengerusi NUJ Utusan Melayu, Amran Ahmad untuk memfailkan semakan kehakiman kes pembuangan kerja beliau di Mahkamah Tinggi.

Pemilihan Gobind yang juga pemimpin DAP itu dibuat berdasarkan merit peguam tersebut yang pernah memenangi banyak kes termasuk pembuangan wartawan Utusan sebelum ini, kata satu kenyataan NUJ hari ini.

Amran Ahmad

Selain itu, Gobind yang telah menyatakan persetujuan secara bertulis akan turut mengetengahkan beberapa hujah utama yang terpinggir sebelum ini.

Malah MTUC juga mengambil berat tentang kes ini dengan memberi sokongan moral dan nasihat perundangan kepada NUJ untuk memfailkan semakan kehakiman tersebut di Mahkamah Tinggi.

Jika keputusan oleh Mahkamah Perusahaan dalam kes ini tidak melalui semakan kehakiman dan kekal begitu, NUJ khuatir kesatuan sekerja di negara ini takut untuk bersuara dalam menegakkan perjuangan mereka.

“Jika mengkritik, mempertikai keputusan majikan dan melaporkan kepada pihak berkuasa atas kapasiti kesatuan sekerja dianggap fitnah, maka sukarlah kesatuan sekerja di negara ini untuk bergerak sebaliknya hanya boleh memuji syarikat semata-mata,” kata NUJ dalam kenyataan yang sama.

NUJ juga berpendapat, kes Amran bukan hanya berkaitan kes individu yang bergelar pengerusi cawangan semata-mata akan tetapi ia bakal menjadi rujukan dalam mana-mana kes membabitkan pemimpin kesatuan sekerja di masa depan.

Amran sebelum ini gagal dalam tuntutannya di Mahkamah Perusahaan di Kuala Lumpur yang mendakwa dia dibuang kerja secara salah oleh syarikat itu pada 2009 selepas mengadukan transaksi syarikat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast