Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu Selangor mencatat sebanyak 27,444 unit pusat komersial dan kondominium mewah masih tidak terjual sehingga hari ini.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, sebanyak 83 peratus daripada jumlah itu adalah dalam kapasiti harga melebihi RM250,000.

“Daripada 130,690 unit, sebanyak 14 peratus di Wilayah Persekutuan manakala sebanyak 21 peratus di Selangor.

“Oleh itu dasar yang dipelopori oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dalam pembinaan Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) adalah untuk menampung kehendak rakyat yang sangat memerlukan kemudahan perumahan mampu milik,” jelas Tengku Adnan.

Ahli Parlimen Putrajaya itu memjawab soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS), Hee Loy Sian pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Loy Sian sebelum itu mahu tahu tindakan terhadap lambakan kompleks beli belah, kompleks komersial dan unit kondominium mewah yang masih kosong dan tidak terjual di sekitar ibu negara dan Petaling jaya.

Jelas Tengku Adnan, lambakan itu berlaku kerana terdapat kekurangan penawaran bagi unit-unit mampu milik.

“Kita sedang berbincang dengan Bank Negara dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) untuk menyelesaikan lambakan hartanah di Kuala Lumpur sebelum tindakan diambil,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.