Sambil mengucap syukur, suri rumah berusia 43 tahun itu gembira dengan pencapaian anaknya, Anas Izzuddin Muamar, 12, yang berjaya mendapat A dalam kesemua subjek yang diduduki kali ini.
“Saya hanya mengharapkan anak dapat skor 4 A kerana saya dapat melihat dia agak lemah dalam Sains tetapi dia memberi kejutan gembira bukan sahaja skor A dalam Sains tetapi juga memperolehi 6 A dalam semua subjek.
“Memang secara fizikal dia bersaiz kecil tetapi pintar. Masa belajar dia lebih meluangkan masa lebih untuk mengusik orang dan bersukan.
“Dalan percubaan dia skor B dalam Sains tetapi hari ini saya bangga dengannya kebolehannya yang berjaya membuktikan bukan calang-calang orang,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di sini.
“Bagi saya, Matematik dan Sains memang mencabar saya semasa ujian tetapi bimbingan emak dan guru dan latihan ulangkaji berjaya memberi skor A.
“Walaupun aktif sukan ragbi peringkat sekolah, saya dapat membahagikan masa secara bijak dengan bimbingan emak dan guru sekolah,” tegasnya anak kedua dari empat beradik itu.
Seorang lagi murid, Puteri Damia Maisarah Faizal, 12, pula mendapat 5A dan 1 C dalam UPSR kali ini dan mengakui subjek Bahasa Inggeris agak sukar.
“Kalau ikutkan emak agak istimewa kerana tidak banyak memberi tekanan dalam akademik seperti ibu bapa lain cuma dia mahu saya konsisten dalam akademik dan bersama saya sebagai pemberi motivasi disamping menunjuk ajar subjek yang tidak faham.
“Malah saya juga telah menyediakan jadual sendiri untuk mengulangkaji sebagai persiapan menghadapi peperiksaan kali ini dan percaya dapat merealisasikan hasrat emak,” katanya.
Ibunya, Zila Othman, 38, yang bekerja sebagai Pegawai Juruukur Bahan di Kementerian Pertahanan dari Keramat Ujong dekat sini mengakui anak-anak sekarang pintar dan format Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dilaksanakan kerajaan benar-benar mencabar.
“Saya puas hati dengan pencapaian anak saya dan sudah pasti KBAT menguji tahap pemahaman mereka diluar kotak dan bukannya bersandarkan pada cara konvensional yang mengharapkan buku teks dan soalan ramalan.
“Ini satu inisiatif yang baik sekiranya murid-murid tidak berdepan masalah dalam memahami format KBAT dan boleh skor,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette