Datuk Md Alwi Che Ahmad

KOTA BHARU – Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) negeri ini menyifatkan tindakan menghalang Ketua Pembangkang, Datuk Norzula Mat Diah untuk membahaskan Bajet 2018 sebagai keji.

Setiausaha BN negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, sebagai Ketua Pembangkang, Norzula sepatutnya diberi laluan untuk terlibat di dalam perbahasan.

Beliau berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sesi belanjawan adalah satu-satunya pentas serta ruang untuk ADUN menyampaikan pandangan dan meluahkan sebarang isu termasuk keluhan dari rakyat yang diwakili mereka.

“Tindakan menghalang ADUN dari menunaikan tanggunjawab ini adalah amat keji.

“Walaupun YB Paloh (Norzula)!masih belum pulih sepenuhnya dari serangan stroke, beliau tetap gagahkan diri hadir dalam dewan demi menyampaikan suara rakyat yang diwakilinya.

“Tindakan speaker untuk tidak bertolak ansur apalagi mempertimbangkan keadaan kesihatannya serta bertegas mengusir beliau dari dewan tidak boleh diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam Norzula menangis teresak-esak selepas dihalau keluar dari dewan oleh Abdullah selepas kedua-dua mereka bertegang leher ketika sesi perbahasan usul Bajet 2018 dalam sidang DUN.

Norzula yang mula menjadi ADUN sejak tahun 1990 memohon laluan untuk berucap mengenai usul tersebut namun tidak dibenarkan kerana Abdullah mendakwa sesi perbahasaan telah berakhir kelmarin dan semalam hanya sesi penggulungan daripada kerajaan sahaja.

Mengulas lanjut Alwi yang juga ADUN Kok Lanas berkata, kenyataan Timbalan Speaker, Abdul Latif Abdul Rahman yang mengatakan ‘lakonan air mata’ daripada Norzula adalah biadab.

“Kenyataan itu keluar daripada seorang muda terhadap seorang ahli dewan paling lama dalam DUN Kelantan. Ia diluar kesantunan orang Melayu, apalagi datang dari seorang mewakili parti ‘Islam’.

“Pada jam 4.30 petang kelmarin (21 November 2017) selepas YB Kelaboran menamatkan ucapan perbahasannya, dua ADUN bangun untuk berucap, tetapi speaker menyatakan hasrat untuk menangguhkan persidangan. Speaker tidak sekali-kali menyatakan sessi perbahasan sudah tamat.

“Sikap tidak demokratik DUN Kelantan ini menggambarkan kerajaan pimpinan Pas sangat takut untuk menghadapi keluhan dan suara rakyat secara berdepan,” katanya.

Ujarnya, Norzula hanya ingin menyampaikan keluhan rakyat Gua Musang terhadap kebimbangan mereka apabila bukit ditarah, balak ditebang dan hutan simpan kekal diteroka sehingga 200,000 hektar.

“Beliau juga ingin menyampaikan kebimbangan penduduk orang asli di Gua Musang terhadap cadangan pembinaan Empangan Nenggiri yang disebut oleh YAB Menteri Besar dalam ucapan belanjawan pada hari pertama persidangan!

“Kami ADUN-ADUN BN Kelantan amat kesal dgn sikap tidak profesional dan berat sebelah ini. Di Parlimen semua ahli-ahli Yang Berhormat di beri peluang paling tidak lima
minit untuk bersuara dalam sidang belanjawan,” katanya.- MalaysiaGazette