Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak wajar melabelkan Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai bodoh hanya kerana pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) itu tidak bersetuju dengan pandangan speaker Dewan Rakyat berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tindakan melabel itu tidak sepatutnya dilontar oleh seorang wakil rakyat, lebih-lebih lagi melibatkan kepentingan bersama.

“Ia jelas tidak sepatutnya diungkapkan oleh seorang pemimpin seperti Shafie Apdal.

“Sekalipun Shafie tidak bersetuju dengan pandangan seseorang berhubung Perjanjian Malaysia 63, namun untuk melontarkan tuduhan bodoh sangat tidak sesuai disebutkan oleh Shafie,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, Pandikar berkata, Sabah setara dengan mana-mana negeri lain di Malaysia, dengan menyebut Bab 2 MA63 bekas tanah jajahan British Borneo Utara (Sabah), Sarawak bersekutu dengan negeri-negeri Melayu.

Zulkarnain berkata, Pandikar mempunyai asas dan kredibiliti untuk memberi pandangannya mengenai MA63 memandangkan beliau sendiri adalah seorang ahli politik berpengalaman.

“Pandikar juga pernah menjadi Menteri Persekutuan, Presiden Parti Akar dan wakil rakyat DUN di Sabah. Pandikar juga mempunyai Ijazah Sarjana undang-undang dari Wolverhampton Polytecnic dan Lincoln Inn, London,” katanya.

Beliau berkata, tindakan melulu bekas Naib Presiden UMNO itu dipercayai untuk mengalihkan isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas diri berhubung kes penyelewengan dana RM1.5 bilion.

“Shafie dilihat sering keliru dalam bertindak menyerang kepimpinan UMNO dan BN. Ini mungkin kerana terkesan dengan siasatan SPRM terhadap beliau.

“Namun tindakan bertenang harus sentiasa diutamakan oleh Shafie sementara menunggu keputusan di mahkamah kelak,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast