TOKYO – Kerajaan Jepun akan memperuntuKkan kira-kira 2 trilion yen (AS$17.93 bilion) untuk memberi subsidi kepada kos pendidikan dan menambah baik penjagaan orang tua sebagai sebahagian daripada pakej ekonominya selepas pakej sedia ada tamat awal bulan depan.

Menurut akhbar Asahi, kerajaan akan mengenepikan 800 bilion yen bagi satu program baharu yang menawarkan penjagaan harian kanak-kanak berusia 3 sehingga 5 tahun secara percuma dan penjagaan kanak-kanak berusia sehingga 2 tahun secara percuma kepada isi rumah berpendapatan rendah bermula April 2019.

Kerajaan akan membelanjakan 800 bilion yen lagi untuk menawarkan pendidikan universiti percuma serta memberikan lebih banyak geran kepada isi rumah berpendapatan rendah bermula pada tahun kewangan 2020.

Pakej tersebut juga mengenepikan kira-kira 100 bilion yen untuk menaikkan gaji pekerja rumah orang tua dan pusat penjagaan harian, demikian menurut akhbar berkenaan yang memetik sumber.

Pakej tersebut dijangka diluluskan secara rasmi pada 8 Disember ini.

Bagi membiayai perbelanjaan tersebut, kerajaan akan menggunakan 1.7 trilion yen daripada perolehannya yang didapati daripada peningkatan cukai jualan yang dijadualkan dinaikkan pada Oktober 2019 selain peningkatan dalam sumbangan majikan.

Perdana Menteri, Shinzo Abe telah menjadikan perbelanjaan pendidikan dan bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah sebagai perkara utama selepas menang besar pilihan raya bulan lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast