BANGI – Jiwa saya kini lebih dekat dengan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi Seniman Malaysia (Seniman) dan keterbatasan ini menyebabkan saya kurang aktif dalam bidang seni dan berada di kaca televisyen.
Demikian kata pelakon Rozaidi Abd Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi yang kini lebih memberi tumpuan kepada Seniman yang diterajuinya untuk membawa artis kepada masyarakat menerusi aktiviti tanggungjawab sosial.
“Bagi saya jiwa NGO itu lebih dekat di hati saya, bukan kita tak ada job, dalam bidang seni kita tetap ada show, cuma keterbatasan untuk kita dalam bidang seni itu mungkin kita boleh bawa dalam agensi-agensi kerajaan.
“Bukan saja kita boleh berhibur di dalam televisyen saja, malah di sini (agensi kerajaan) boleh berhibur terbaru dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di mana kita boleh melatih lebih ramai anggota APM dalam bidang kesenian,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, baru-baru ini.
Zed Zaidi berkata, Seniman kini lebih aktif bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bukan sahaja berhibur bahkan menghulur bantuan kepada masyarakat, lebih-lebih lagi apabila ditimpa musibah banjir besar.
“Sebelum ini kita pernah bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), RELA, Wataniah, dan hari ini kita lebih aktif dengan APM.
“Artis kini jadi ikon APM, melakukan satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bukan sahaja berhibur malah mereka juga ada ilmu untuk menghadapi bencana dan sebagainya,” katanya.
Katanya, menerusi APM, selebriti dan artis akan lebih berdisiplin apabila mereka dilibatkan dalam pelbagai yang disediakan APM khususnya ketika berdepan saat cemas dan membantu mangsa banjir.
“Kita mungkin ada lebih ramai lagi artis menyertai APM. Dengan aktiviti ini, kita dapat lihat artis akan lebih berdisiplin bila mereka mengikuti kursus-kursus di Akademi Latihan Pertahanan Awam (Alpha) ini.
“Saranan kita kepada artis-artis di luar sana untuk terus menyertai APM dan kita juga menyeru belia-belia di luar sana sertai kita supaya kita akan menjadi satu masyarakat yang bertanggungjawab kepada rakyat kita sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette.