Sirajuddin Salleh

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak kerajaan menyatakan pendirian tegas untuk menolak Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan tidak memberi ruang ia diterima dalam sistem pendidikan negara.

Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, pihaknya tidak mahu isu UEC ini boleh mengheret pendidikan negara ke belakang sambil menyifatkannya sebagai gangguan kepada pembangunan modal insan di negara ini.

“Perkasa mahu kerajaan supaya membuat satu pendirian tegas dan berani menolak UEC selama-lamanya. Perkasa pun sudah muak dengan isu ini. Jangan isu UEC menarik kita ke belakang.

“Sebaliknya kerajaan harus terus menyelesaikan isu-isu yang lebih besar tanpa ganguan oleh isu ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya tidak akan mengiktiraf dan menerima mana-mana pelajar yang menggunakan sijil UEC untuk memasuki institut pengajian tinggi (IPT) di bawah kementerian itu.

Katanya, UEC yang diperkenalkan Pertubuhan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) perlu memahami dan menghormati Dasar Pendidikan Kebangsaan terlebih dahulu sebelum sijil itu diiktiraf.

Pada masa ini, antara IPT yang bernaung di bawah kementerian berkenaan iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Poly-Tech Mara dan Universiti Agro Sains Malaysia.

Sirajuddin selaku Pengerusi Biro Pendidikan Perkasa berkata, mana-mana pihak yang menyokong dan menuntut UEC diterima dalam sistem pendidikan negara adalah pengkhianati masa depan negara.

“Sekiranya UEC diiktiraf, ianya akan mencemari Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah dibentuk atas asas dan persetujuan semua bangsa yang membentuk komposisi rakyat Malaysia. Ini termasuklah Cina,” katanya.

Beliau juga menyokong sepenuhnya hujah Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong bahawa UEC hanya merampas peluang pelajar lain yang mengikuti sistem pendidikan sedia ada.

“Perkasa setuju dengan pandangan Prof. Datuk Dr. Teo, bahawa apa-apa jenis persekolahan yang tidak berada dalam sistem pendidikan negara, adalah tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Apakah asas yang diguna pakai oleh Dong Zong yang mahu UEC diiktiraf oleh kerajaan? Semua sekolah persendirian Cina telah diberi peluang menyertai sistem pendidikan kebangsaan ketika negara mencapai kemerdekaan.

“Kenapa baru sekarang sekolah persendirian Cina yang menawarkan UEC secara tiba-tiba mahu menyertainya melalui pendekatan ‘jalan pintas’?” katanya.

Katanya lagi, Dasar Pendidikan Negara pada masa ini tidak ada cacat celanya, malah sentiasa dipertingkatkan keberkesanannya dari semasa ke semasa.

“Perjuangan selain itu, boleh dilihat sebagai sesuatu mengarut, malah lebih tidak sihat dilihat sebagai pengancam kepada Sistem Pendidikan Negara yang telah berjalan dengan selesa dan melalui liku perjuangan yang begitu lama, sejak merdeka,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast