Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed diiringi Pengerusi SME Corp Malaysia, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Hafsah Hashim (kiri) menerima cenderhati daripada Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan (dua kiri) pada Seminar IPO : Stairway To Listing 2017 anjuran SME Corp Malaysia di Pejabat SME Corp Malaysia KL Sentral, Kuala Lumpur. foto

KUALA LUMPUR – Masih terdapat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang tidak bersedia untuk disenaraikan di pasaran LEAP meskipun mempunyai kelayakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan berkata, hampir 50 peratus daripada usahawan yang mampu untuk disenaraikan gagal berbuat demikian kerana tidak membuat persiapan teliti.

“Mereka mempunyai inisiatif tetapi tidak membuat persediaan mencukupi. Ada yang tidak membuat penyata akaun dengan betul, ada yang tidak menyedari mereka perlu menukar syarikat dari sendirian berhad kepada berhad dan pelbagai lagi.

“Disebabkan itu kami hadir ke seminar ini untuk berkongsi perjalanan yang perlu dilalui oleh para usahawan sebelum mereka menyenaraikan syarikat masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Terbitan Awam Permulaan (IPO) – Tangga ke Penyenaraian di sini hari ini.

Majlis dianjurkan oleh SME Corporations Malaysia dan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurut Tajuddin, daripada 13 syarikat, dua telah disenaraikan di pasaran LEAP dan terdapat dua atau tiga lagi syarikat sedang dalam perancangan untuk disenaraikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast