Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendengar penerangan mengenai pengimbas RFID dari Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada sidang media mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 28 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui bahawa Persidangan Agung UMNO (PAU2017) adalah persidangan terakhir sebelum palu Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) dibunyikan Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Justeru itu, menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, PAU2017 akan menjurus kepada menaikkan semangat kemenangan parti tunjang Melayu itu bagi menghadapi PRU14.

“Mod perhimpunan ialah untuk tanamkan semangat kemenangan terhadap semua yang hadir dan semua ahli parti di peringkat bahagian dan cawangan.

“Semangat ini akan ditanam di sepanjang berlangsungnya perhimpunan kali ini,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Tengku Adnan berkata, ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak juga akan menjurus kepada persiapan bagi Barisan Nasional (BN) menghadapi PRU14 kelak.

“Kali ini persidangan terakhir sebelum menghadapi PRU14 maka kita akan menjuruskan segala persiapan kita ke arah untuk menghadapi PRU14.

“Ucapan Presiden parti juga akan terarah kepada persiapan PRU14,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, persiapan PAU2107 sudah mencecah 90 peratus yang mana hanya tinggal isu keselamatan yang masih belum diselesaikan.

“Datuk Rauf Yusof sedang selesaikan isu keselamatan kerana kita bimbang soal keselamatan dan sedang menjalankan kerjasama dengan agensi lain, dan polis.

“Kita pastikan perkara ini dapat diselesaikan sebelum PAU2107 dimulakan.

Untuk rekod, PAU2017 akan menjadi perhimpunan pertama yang menggunapakai konsep ‘paperless’ atau tanpa kertas.

Menurut Tengku Adnan, segala sidang media dan kenyataan media akan dimaklumkan menerusi laman web rasmi parti.

“Persidangan kali ini akan menjadi persidangan tanpa kertas pertama diadakan. Ini mengukir kepada era pembaharuan di mana kita mahu mengurangkan penggunaan kertas.

“Perwakilan pun tidak akan terima buku penyata kira-kira parti tapi kita hanya akan beri kepada ketua bahagian sahaja, dan setiausaha bahagian dan ahli Majlis Tertinggi (MT), lain semua tidak akan terima buku penyata kewangan kerana ia boleh dimuat turun menerusi laman web rasmi parti.

PAU2017 akan berlangsung pada 5 hingga 9 Disember depan.

Dijadualkan seramai 5,739 perwakilan akan hadir menghadiri perhimpunan agung kali ini. -MalaysiaGazette.