Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Golongan wanita perlu menyesuaikan diri dalam era media baharu dengan memberi pendekatan yang lebih mesra media terutamanya dalam berkomunikasi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, hanya melalui media, imej seseorang wanita itu dapat ditingkatkan dalam kaca mata rakyat.

Beliau berkata, apabila seseorang wanita menduduki jawatan yang tinggi, ia menarik perhatian bukan sahaja rakan kerja malah juga orang ramai dan keterampilan seseorang wanita akan diuji.

“Hasil kebolehan wanita itu sendiri perlu ditonjolkan kerana kejayaan wanita mesti dilihat dari kaca meritokrasi jua.

“Wanita yang memahami kekuatan pelbagai jenis media akan berjaya menyampaikan mesej dan jenama mereka kepada orang ramai.

“Gunalah media seperti media sosial dengan berkesan dan baik dan jangan hanya bergantung kepada saluran media tradisional,” katanya ketika berucap pada program Women Power Talk 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Program anjuran Pergerakan Wanita UMNO Malaysia itu turut dihadiri Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Pada majlis sama, Salleh turut melancarkan Portal Profesional Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

Sementara itu, Salleh berkata, dunia perniagaan berubah akibat teknologi digital berbanding dahulu apabila kaum wanita gemar keluar membeli belah di butik atau gudang membeli-belah pada hujung minggu.

Namun katanya, kini gaya hidup pembelian boleh dibuat di mana saja dengan semudah beberapa klik.

“Banyak produk boleh didapati dengan lebih murah secara atas talian melalui laman sesawang atau aplikasi Instagram.

“Saya mengalakkan agar usahawan wanita segera mengambil peluang dalam menguasai teknologi digital untuk memajukan perniagaan.

“Dengan menguasai e-dagang, usahawan wanita tidak lagi ketinggalan, malahan mampu bersaing secara sihat dengan pemain-pemain industri yang lain.

“Perniagaan menggunakan kemudahan teknologi digital telah mula berkembang pesat semenjak beberapa tahun ini.

“Saya lihat sudah ada peningkatan jenama tempatan terutama dalam sektor perniagaan berasaskan fesyen memanfaatkan perkembangan teknologi digital kini,” katanya.

Dalam pada itu, Salleh menyaran golongan wanita memperkasakan pencapaian dalam bidang politik dalam usaha mempertingkatkan bilangan wanita dalam politik serta membuka ruang melaksanakan tugas-tugas penting dalam proses pembangunan.

Beliau berkata, wanita perlu lebih berani menonjolkan keupayaan mereka selain meningkatkan status profesionalisma dalam kepimpinan negara.

“Ini semua bagi merapatkan jurang skor pencapaian dan kesaksamaan dengan kaum lelaki dalam penguatkuasaan politik, sekali gus menyamakan wanita seperti di Australia dan Amerika Syarikat (AS).

“Di negara kita sendiri, walaupun ada 222 Ahli Parlimen hanya 24 wanita yang menjadi Ahli Parlimen dan perkara ini perlu dipertingkatkan ,” katanya. – MalaysiaGazette