KUALA LUMPUR – Restoran Gabungan 1Malaysia sedia menyambut 12,000 ahli UMNO dari seluruh negara sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 hingga 9 Disember depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, pihaknya akan menyajikan makanan secara percuma semua pemerhati dan ahli UMNO yang mengambil bahagian dalam PAU2017 dari pagi hingga malam.
“Ketika berlangsungnya PAU 2017 ini saya dimaklumkan perwakilan disediakan makanan, tetapi (tidak kepada) pemerhati dan ahli-ahli UMNO di seluruh negara.
“Kami buka restoran ini dengan menyediakan sarapan seawal 7 pagi hingga 10.30 pagi, waktu tengahari pula 12 tengahari hingga 3 petang, makan petang dari 4 hingga 6 petang serta makan malam dari 8 hingga 11 malam.
“Saya mengalu-alukan mereka jangan lepaskan peluang untuk datang ke restoran kami di Jalan Pahang,” katanya pada sidang media di Restoran NGO 1Malaysia, Jalan Pahang, di sini, hari ini.
PAU 2017 akan bermula pada 4 hingga 9 Disember ini dengan program taklimat presiden dan diikuti majlis perasmian Perhimpunan Agung pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada sebelah malamnya.
Seramai 5,739 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan lima hari itu.
Ia membabitkan 2,761 perwakilan menghadiri PAU, 994 ke Perhimpunan Agung Wanita dan masing-masing 992 di Perhimpunan Agung Pemuda dan Puteri. – MalaysiaGazette
bertambah lah umor jamal kerana banyak bersedekah jangan lupa syukur pada Allah