Home Ekonomi Keuntungan sebelum cukai Maybank RM2.68b

Keuntungan sebelum cukai Maybank RM2.68b

KUALA LUMPUR – Malayan Banking Berhad (Maybank) merekodkan keuntungan bersih kepada RM5.39 bilion, kenaikan 23 peratus bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2017 dipacu oleh peningkatan iklim ekonomi di rantau ini.

Pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi serta penurunan 25.2 peratus dalam kerugian rosot nilai meningkatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 20.1 peratus daripada tahun sebelumnya kepada RM7.17 bilion.

Maybank dalam kenyataannya berkata, pendapatan bersih operasi bagi tempoh itu naik sebanyak 6.8 peratus tahun ke tahun mencecah kepada RM17.29 bilion dengan pertumbuhan daripada semua sektor perniagaan.

Pertumbuhan itu dipacu oleh Perkhidmatan Kewangan Komuniti yang merekodkan kenaikan 8.6 peratus, Kumpulan Insurans dan Takaful 2.8 peratus dan Kumpulan Perbankan Global 0.9 peratus.

Keuntungan sebelum cukai bagi suku tiga lebih tinggi sebanyak 19.3 peratus kepada RM2.68 bilion berbanding suku sebelumnya RM2.24 bilion.

Menurutnya, keuntungan bersih bagi suku itu mencecah RM2.03 bilion atau 22.2 peratus lebih tinggi dari suku kedua.

Pinjaman kasar Kumpulan Maybank juga menyaksikan peningkatan kukuh sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun untuk sembilan bulan kepada RM485.9 bilion.

Ia didorong oleh kenaikan 6.6 peratus dalam operasi Malaysia dan 3.7 peratus dalam operasi antarabangsa.

Ini membantu meningkatkan pendapatan berasaskan dana bersih sebanyak 11.7 peratus kepada RM12.47 bilion.

Deposit kumpulan itu berkembang 2.7 peratus tahun ke tahun, disokong oleh operasi Malaysia yang berkembang 7.5 peratus dan Indonesia pada kadar 3 peratus.

Margin faedah bersih (NIM) untuk sembilan bulan bertambah 12 mata asas kepada 2.39 peratus berbanding Disember 2016.

Bagaimanapun, ia adalah 2 mata asas lebih rendah daripada 2.41 peratus yang direkodkan dalam suku kedua 2017 yang menunjukkan peningkatan tekanan pada margin berikutan kenaikan kos dana.

Kerugian rosot nilai bersih turun dengan ketara pada suku ketiga pada 51 peratus lebih rendah kepada RM409.6 juta berbanding dengan RM835.7 juta pada suku sebelumnya.

Maybank terus mengekalkan kedudukan modal yang teguh sebagai salah satu daripada bank-bank paling kukuh dengan nisbah modal sebanyak 18.03 peratus dan nisbah modal ekuiti biasa kumpulan 1 (CET1) sebanyak 13.50 peratus pada September lalu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. didalam rakyat kesempitan pengaaangguran dan kesusahan hidup bank2 tetap meraih keuntungan besar semuanya menggunakan harta orang lain . charge service gst dan komisyin rakyat yang bayar .. apakah undang² kita pakai . kerajaan tutup mata .

Comments are closed.