Posting terbaru ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim di akaun Facebooknya mendakwa Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos cuba melarikan diri dari Sungai Besar dengan bertanding di DUN Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR – Tindakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mencabar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kerusi DUN Bukit Antarabangsa disifatkan DAP sebagai cubaan melarikan diri.

Tohmahan itu dilontarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim yang memuat naik status terbaru di akaun Facebooknya semalam mempersoalkan tindakan Jamal itu yang selama ini tidak ‘sebulu’ dengannya.

“Pelik Pulak! Nak cabut dari Sungai Besar? #ManaMauLari,” kata Suee Lim sambil memuat naik artikel Sinar Harian yang bertajuk ‘Jamal Tak Layak Lawan Azmin’.

Rabu lalu, Jamal yang ditemui pemberita di Restoran Gabungan NGO 1Malaysia di Jalan Pahang, di sini menegaskan hasratnya bertanding di DUN Bukit Antarabangsa kerana kerusi itu disandang oleh Azmin yang juga menteri besar sejak 2008.

Jamal berkata beliau tidak berhasrat bertanding di DUN Sekinchan kerana lawannya, Suee Lim tidak setanding untuk dicabar sambil menyatakan keyakinan BN mampu merampas kerusi itu pada PRU14.

Hasrat Jamal itu dinyatakan selepas beliau menganjurkan program Konvoi Bermotosikal Pengundi Luar di Sekin Resort, Sekinchan, minggu lalu.

Jamal juga mengakui usaha itu lebih mencabar dan memerlukan usaha keras untuk merampas kerusi itu daripada Mohamed Azmin.

Perkara itu juga dalam pengetahuan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast