Home Dunia Peluru berpandu Hwasong-15 senjata ICBM baru

Peluru berpandu Hwasong-15 senjata ICBM baru

Imej pelancaran peluru berpandu Hwasong-15 yang dilancarkan Korea Utara pada 29 November lalu. foto Agensi.

SEOUL – Peluru berpandu Hwasong-15 yang dilancarkan Korea Utara pada Rabu lalu adalah jenis peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) baru yang boleh terbang lebih dari 13,000 kilometer (8,080 batu), kata jurucakap kementerian pertahanan Korea Selatan.

Pyongyang sebelum ini mengakui telah menguji peluru berpandu yang paling maju, meletakkan Amerika Syarikat dalam jangkauannya meskipun ia melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Presiden Donal Trump menyifatkan usaha diplomatik China untuk mengekang program senjata Korea Utara sebagai gagal.

Tetapi Setiausaha Negara, Rex Tillerson berkata, Beijing telah melakukan banyak, tetapi boleh melakukan lebih banyak lagi dengan mengekang bekalan minyak ke Pyongyang.

Selepas Korea Utara mengeluarkan rakaman video dan gambar Hwasong-15, para penganalisis mendakwa senjata itu memang mampu membedil mana-mana lokasi di Amerika Syarikat dan memerlukan dua atau tiga kali ujian sebelum siap sedia bertempur.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dalam satu panggilan telefon dengan Trump memberitahu, peluru berpandu dari Korea Utara itu adalah paling maju setakat ini tetapi ia masih mempunyai beberapa masalah teknikal untuk menyelesaikan, seperti sistem teknologi kemasukan balik dan terminal.

Trump dan Moon berjanji untuk terus membincangkan tentang sekatan dan tekanan lebih kuat ke atas Korea Utara

Mengulas pertemuan kecemasan PBB selepas pelancaran peluru berpandu itu, Amerika Serikat memberi amaran kepada kepemimpinan Korea Utara bahawa ia akan “hancur sama sekali” jika perang meletus. – MalaysiaGazette