Reaksi ceria Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama dua bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Taib (kanan) dan Tan Sri Khalid Ibrahim (dua kiri) ketika hadir ke Kovensyen UMNO Negeri Selangor 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 02 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melakukan ekstradisi ke atas enam warganegara Malaysia yang kini ditahan pihak berkuasa Hong Kong kerana kesalahan pengedaran dadah di wilayah negara China itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ekstradisi itu boleh dilakukan memandang Malaysia mempunyai “Mutual Legal Assistance” (MLA) dengan negara China.

“Kita mempunyai MLA dengan negara China dan Hong Kong adalah wilayah autonomi negara itu.

“Jalinan di antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan Polis Hong Kong akan diterjemahkan melalui penghantaran enam individu ke negara kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen UMNO Selangor 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiringi dua bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Taib (kanan) dan Tan Sri Khalid Ibrahim serta kepimpinan tertinggi UMNO Selangor bergambar pada Kovensyen UMNO Negeri Selangor 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 02 DISEMBER 2017

Pada 29 November lalu, enam warga Malaysia yang menyertai kumpulan pelancong ke Hong Kong ditahan pihak kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kerana cubaan menyeludup dadah ketamin bernilai RM2 juta.

Semua enam lelaki terbabit berusia antara 18 dan 28 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan kastam sebaik tiba dari Kuala Lumpur pada Rabu.

Ahmad Zahid juga berkata, sebaik sahaja mereka dihantar pulang ke tanahair, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan menyiapkan kertas siasatan sebelum dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan.

“Keenam-enam warga Malaysia itu akan didakwa di bawah 39B Akta Dadah Berbahaya atau akta lain-lain yang berkaitan,” katanya.

Beliau juga menegaskan, walaupun kerajaan boleh melakukan ektradisi, namun mana-mana pihak yang melakukan jenayah sama ada di dalam mahupun luar negara tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Kita tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pihak sama ada kesalahan pengedaran dan pembuatan jenayah dadah ini, sama ada di dalam negara mahupun luar negara, tindakan pasti dilakukan,” katanya lagi – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast