Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menggesa agar semua perwakilan dan ahli-ahli parti bersiap sedia seolah-olah Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) akan diadakan esok.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia ditekankan Perdana Menteri dalam sesi taklimat kepada semua perwakilan yang hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2017) yang bermula hari ini.

“Kita tidak perlu tempoh lagi, sekarang ini kita anggap seolah-olah esok pilihanraya.

“Penting untuk meletakkan parti diatas apa juga keadaan sebab kita nak berdepan dengan PRU, bukan sahaja perwakilan dalam dewan itu penting tetapi rakyat diluar sana juga,” katanya selepas selesai mendengar taklimat tertutup Presiden UMNO petang tadi.

Jelas Hishammuddin lagi, semua ahli parti baik perwakilan dan akar umbi digesa meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan individu atau puak tertentu.

“Dalam satu tahun ini banyak benda yang telah kita lakukan, sekarang ini merupakan selekoh terakhir dimana kita kena gembelingkan semangat dan rapatkan barisan dan pastikan tumpuan kita bukan kepada pemilihan dalam parti, tetapi untuk Pilihan Raya yang bakal kita hadapi tidak lama lagi,” jelas Hishammuddin lagi.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, jentera Barisan Nasional (BN) sudah digerakkan sejak dua tahun lalu apabila parti itu dihambat dengan isu dalaman parti.

“Ini satu petanda kerana semua maklum bahawa dua tahun lalu kita berdepan dengan pelbagai cabaran. Oleh sebab itu amanat Presiden kali ini bukan sahaja dapat menggembleng dan juga menyentuh dan menghargai suasana yang berbeza tahu ini.

“Dalam masa sama Presiden kita telah berikan penekanan tertentu yang saya tengok diterima baik oleh para perwakilan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast