KUALA LUMPUR- Belum pun genap seminggu dibuka untuk kegunaan awam, sudah ada individu yang tidak bertanggungjawab melakukan vandalisme terhadap tembok Jalan Pintas Rawang (Rawang Bypass).
Blog Jalan Raya Malaysia (BJRM) baru-baru ini memuat naik di Facebook gambar contengan pada tembok jambatan setinggi 58.2 meter itu dengan perkataan ‘Lawalah Familia’ yang kemudiannya viral.
‘Lawalah Familia’ merupakan sebuah kumpulan tarian Hip Hop dari Kuala Lumpur yang terpalit atas perbuatan itu walaubagaimanapun menafikan ianya angkara anggota kumpulan mereka.
“Kami juga menyeru kepada semua para pendengar muzik kami yang anda tak LAWA kalau anda terlibat dengan gejala-gejala yang negatif dan salah satunya adalah vandalisme.
“Dan kami meminta anda yang melakukan kesalahan tersebut agar tidak mengulangi perkara sebegitu kerana tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pelaku,” ujarnya.
Ekoran itu pelbagai respon yang diberikan netizen ada yang meluahkan kemarahan terhadap vandalisme yang dilakukan tidak kurang juga yang menyifatkannya sebagai hasil kreatif yang patut disambut baik.
“Rakyat kita masih mundur dari segi pemikiran. Lihatlah MRT baru tu, habis duit nak repair ekoran vandalisme. Tak tahu dah nak buat apa dengan orang kita ini,” kata Izzo Jackster.
“Lawa ke tak lawa ke, tak boleh macam ni. Kalau kita tak strict, then every shithead with a spray can akan ambil mudah conteng kemudahan awam. Vandalisme adalah vandalisme.” menurut Daud Aiman.
Sebelum ini pelbagai kemudahan projek Transit Aliran Massa (MRT) dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab walaupun belum sebulan beroperasi.
Rawang Bypass yang dibuka laluannya bermula 29 November yang lalu menelan kos pembinaan RM630 juta. Ia merupakan merupakan yang tertinggi di Malaysia.
Selain mampu memendekkan perjalanan dari Bandar Rawang ke Kuala Lumpur, kelebihannya juga tiada tol di kedua-dua belah jalan. – MalaysiaGazette