KUALA LUMPUR – Selebriti tanahair diingatkan tidak berlagak pandai atau acah-acah ‘terer’ politik dengan membuat pelbagai komentar mengkritik pentadbiran kerajaan di laman sosial tanpa asas yang kukuh.
Pelakon dan pengacara, Dira Abu Zahar atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar berkata, lebih buruk lagi apabila kritikan itu dibuat hanya berdasarkan rujukan dan bersumberkan laman sosial serta Internet.
“Kalau anda nak jadi penganalisis politik atau ada pemikiran kritikal tentang politik kerajaan, saya percaya anda boleh melakukan lebih baik dengan banyak membaca buku.
“Kalau rasa nak jadi tenaga pemikir, gunakan saluran betul, tulis surat atau hantar emel, buat betul-betul. Jangan cakap acah-acah terer politik, sebab itu ramai buat macam itu, ramai orang Melayu buat macam itu.
“Ini kerana banyak sumber dalam Internet bukan semua kita boleh pakai,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pelakon Nur Fathia Latiff dilihat lantang mengkritik dasar dan inisiatif pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak dan lebih cenderung kepada politik pembangkang menerusi akaun Twitter dan laman sosial lain.
Fathia juga mengkritik kerajaan berhubung Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang kerugian Bank Negara dalam urus niaga tukaran wang asing (forex).
Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan yang mahu menyiasat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kehilangan dana RM31 bilion selepas lebih 22 tahun memerintah negara.
Dira juga mengingatkan golongan muda agar tidak mudah mempercayai segala komentar artis atau selebriti hanya kerana menjadi pujaan dan minat mereka, lebih-lebih lagi menyentuh isu pentadbiran dan politik negara.
“Kadang-kala anak muda mudah goyah, bila artis tulis betul, adik-adik sekalian, tak semua kita boleh percaya.
“Jangan mudah terpengaruh, jangan disebabkan hanya dia artis kau suka, kau sayang apa semua, memberi komen, kau rasa benda itu betul,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.