KUALA LUMPUR – Drama air mata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak dapat menyelesaikan masalah banjir yang melanda negeri itu.
Perwakilan Pulau Pinang, Datuk Mohd. Zaidi Said berkata, ia berbeza dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor kerana ia membantu memberikan sinar kebahagian kepada rakyat Pulau Pinang.
“Air mata Guan Eng pun tak boleh keringkan banjir di negeri Pulau Pinang. Datuk Seri Presiden Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turun dan jejak kaki ke dalam banjir, air banjir terus surut.
“Saya harap kalau berlaku sahaja banjir di Pulau Pinang nanti, terus masuk kaki kedua-dua pasangan itu ke dalam air banjir, insya-Allah air banjir akan surut,” katanya di hadapan 2,718 perwakilan Persidangan Agung UMNO 2017 hari ini.
Sebelum ini, Guan Eng sebak dalam satu video ketika menceritakan kepada wartawan bagaimana beliau menelefon Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk meminta membantu menyelamatkan Pulau Pinang.
Ekoran itu, Najib terus membuat lawatan sehari ke Pulau Pinang bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai banjir yang berlaku di negeri itu.
Sebelum itu, Ahmad Zahid juga turut turun ke Pulau Pinang setelah dihubungi secara rasmi oleh Guan Eng. -MalaysiaGazette.